Cara Semulajadi Timun Merawat Kulit dan Rambut

Assalamualaikum semua 👋

Timun adalah sayuran yang mengandungi banyak vitamin, mineral penting dan bahan-bahan yang membantu mengekalkan tekanan darah normal, menurunkan berat badan dan ianya juga berkaitan dengan menurunkan risiko pelbagai jenis kanser. Selain daripada penuh dengan khasiat, timun juga mempunyai ciri-ciri tambahan yang sangat bermanfaat kepada kulit dan rambut, terutamanya apabila digabungkan dengan bahan-bahan asas yang boleh didapati di rumah.

1) Mask untuk mata.
Penggunaan paling biasa timun untuk penjagaan kulit ialah sebagai eye mask. Kebanyakan daripada kita meletakkan hirisan timun pada mata kerana ini adalah salah satu cara yang terbaik untuk merawat mata. Fitokimia di dalam timun membantu mengukuhkan kolagen, mengurangkan bengkak, mengurangkan lingkaran hitam di sekeliling mata dan menjadikan kulit lebih halus. Untuk mendapatkan hasil yang terbaik, gunakan timun yang sejuk iaitu terus dari peti sejuk. Potong dua hirisan yang tebal dan letakkan pada mata. Tutup mata selama 10-15 minit. Oleh kerana proses ini semulajadi dan bebas daripada bahan kimia berbahaya, proses ini boleh diulang berkali-kali.

2) Sebagai losyen semulajadi.
Adalah sangat penting untuk melembapkan kulit setiap hari. Losyen daripada timun membantu melegakan dan menganjalkan kulit dan menutup liang-liang pori yang terbuka untuk mengelakkan kotoran dan debu daripada menembusi kulit. Cara menyediakan losyen timun ialah dengan mengisar ½ biji timun (kulit tidak dibuang) bersama dengan 3 sudu besar witch hazel (ekstrak atau yang dikeringkan) dan 2 sudu besar air mineral sehingga adunan menjadi licin. Campuran hendaklah ditapis untuk mengasingkan sisa-sisa pepejal dan dimasukkan ke dalam bekas yang bersih dan kedap udara. Ramuan yang terhasil ini perlu diletakkan di tempat yang sejuk dan digunakan pada setiap hari dalam tempoh 2 minggu.

3) Losyen untuk kulit berminyak.
Kulit berminyak menyebabkan kulit cenderung berkedut, dipenuhi bintik hitam dan mudah berjerawat. Losyen berasaskan timun boleh dijadikan mask untuk membantu menangani jerawat. Caranya ialah dengan mencampurkan serbuk kunyit dan jus timun dalam jumlah yang sama dengan beberapa titisan jus lemon. Sapukan campuran tersebut pada kulit dan biarkan selama 15 minit kemudian dibilas. Ulang seberapa kerap yang diperlukan.

4) Mask untuk rambut.
Berenang di kolam renang biasanya boleh menyebabkan kerosakan pada rambut yang disebabkan oleh klorin. Cara semulajadi untuk mengurangkan kerosakan rambut ialah dengan menggunakan mask rambut. Caranya ialah dengan mengisar sebiji telur dengan 1 sudu besar minyak zaitun dan setengah biji timun tanpa kulit. Kisar sehingga campuran licin dan sebati. Campuran yang terhasil bolehlah disapu dengan sekata pada seluruh rambut dan biarkan selama kira-kira 10 minit. Kemudian basuh dan ulangi jika perlu.

5) Skrub anti-selulit.
Apabila timun dicampurkan dengan bahan semulajadi yang lain ia boleh membantu mengukuhkan bahagian tertentu kulit yang cenderung kepada pembentukan selulit. Ini kerana timun mempunyai fitokimia yang membantu mengukuhkan kolagen menjadikan lapisan luar kulit lebih pejal. Caranya ialah dengan menghancurkan sebiji timun, perah dan tapis untuk mendapatkan jusnya. Kemudian campurkan jus bersama-sama dengan 1 sudu teh butiran kopi (granule) dan 1 sudu teh madu untuk mendapatkan sebatian yang pekat dan berbutir seperti skrub. Gunakan skrub di kawasan-kawasan yang cenderung kepada pembentukan selulit. Selepas digunakan, basuh bersih dan sapukan losyen timun sebagai pelembap.

6) Shower oil.
Kulit yang lama terdedah di bawah terik matahari boleh dipulihkan dengan shower oil daripada timun. Shower oil ini dapat membantu memulihkan dan menyegarkan kulit badan. Di samping itu ia menghasilkan aroma yang dapat meredakan tekanan. Caranya ialah dengan mengisi tab mandi dengan air suam, tambah 2 hirisan timun, 5 tangkai daun pudina dan 1 atau 2 cawan garam Epsom. Garam Epsom adalah sebatian mineral semulajadi yang terdiri daripada magnesium dan sulfat yang seringkali dikenali sebagai penawar untuk beberapa jenis penyakit. Kajian menunjukkan bahawa magnesium dan sulfat mudah diserap ke dalam kulit. Apabila dilarutkan ke dalam air suam, garam Epsom akan meningkatkan tahap magnesium ke dalam badan. Berendam di dalam tab mandi selama kira-kira 20 minit dan kemudian bilas bersih.

7) Mask untuk kulit muka yang kering.
Timun dan avokado mempunyai banyak manfaat kesihatan apabila digabungkan bersama untuk merawat kulit muka yang kering. Lemak pada avokado bersama-sama dengan fitokimia di dalam timun ini dijadikan pelembap untuk memperbaiki kulit wajah. Caranya ialah dengan mencampurkan ½ cawan timun cincang, 1 cawan avokado cincang, 1 biji putih telur dan 2 sudu teh susu tepung. Kisar semua bahan sehingga mendapat satu sebatian yang pekat. Adalah disyorkan untuk disimpan di dalam peti sejuk untuk sekurang-kurangnya setengah jam. Kemudian urut perlahan-perlahan campuran mask tersebut di muka secara circular. Biarkan selama kira-kira 30 minit dan kemudian bilas bersih.

8) Mask untuk kulit muka kombinasi.
Kulit kombinasi adalah satu keadaan di mana seseorang mengalami kombinasi kulit kering dan kulit berminyak. Untuk merawat kulit kombinasi gabungkan timun bersama-sama dengan yogurt asli. Yogurt adalah kaya dengan antioksidan dan mempunyai sifat-sifat anti-radang yang membantu menghalang gatal-gatal dan kulit kering. Cara menyediakan mask ini ialah dengan mencampurkan ½ biji timun dan 1 sudu besar yogurt asli ke dalam pemproses makanan sehingga sebati. Campuran yang terhasil disapu pada muka dan leher dan dibiarkan selama kira-kira 20 minit. Akhir sekali, bilas mask dengan air suam dan kemudian dengan air sejuk untuk membantu menutup liang-liang pori.

SUMBER



Comments

Popular Posts