Teh Hijau Membantu Mencegah Diabetes Jenis 2

Assalamualaikum semua 👋

Meminum teh hijau sudah menjadi adat bagi sesetengah masyarakat di dunia. Sebahagian daripada sebabnya ialah sifat teh hijau yang terkenal sebagai ubat. Teh hijau dikatakan membantu dalam pembakaran lemak, menghalang kedutan dan melambatkan perkembangan sel-sel kanser. Teh hijau juga telah terbukti berkesan dalam mengawal dan mencegah penyakit kencing manis. Mulakan dan akhiri hari dengan teh hijau untuk menikmati banyak manfaat kesihatan yang ditawarkan.

Menurut Dr. Suzanne Steinbaum, pakar kardiologi dan pengarah Women's Heart Health di Hospital Lenox Hill, New York, orang yang menghidap diabetes mengalami masalah metabolisme gula. Metabolisme bermaksud jumlah tenaga atau kalori yang dibakar oleh tubuh untuk mengekalkan fungsi-fungsi tubuh yang asas. Insulin terhasil bertujuan untuk mengurangkan gula, tetapi dengan diabetes jenis 2, badan tidak sensitif terhadap insulin maka gula dalam darah semakin meningkat. Beliau menambah bahawa teh hijau mempunyai keupayaan untuk membantu sel-sel dalam tubuh menghadamkan gula melalui reaksi biokimia yang kompleks.

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal "Diabetes and Metabolisme" mengemukakan manfaat utama meminum teh hijau kepada penyakit kencing manis dan obesiti. Kajian ini adalah berdasarkan kepada kajian terdahulu yang dijalankan di Jepun yang mendapati bahawa orang yang minum 6 cawan teh hijau sehari menurunkan risiko untuk menghidap kencing manis jenis 2 sebanyak 33% berbanding dengan orang yang minum kurang dari 1 cawan teh hijau setiap minggu. Satu kajian di Taiwan pula mendapati bahawa orang yang minum teh hijau secara teratur untuk lebih 1 dekad mempunyai komposisi lemak dalam badan yang lebih rendah berbanding dengan mereka yang bukan peminum tegar.

Meminum teh bagi pesakit kencing manis adalah sangat membantu kerana antioksidan yang ditemui dalam polifenol yang terdapat pada teh. Menurut Dr. Steinbaum "Polifenol membantu mengurangkan tekanan oksidatif (iaitu satu keadaan di mana jumlah radikal bebas di dalam tubuh melebihi kemampuan tubuh untuk menuteralkannya) dan menyebabkan perluasan arteri. Oleh yang demikian membantu menurunkan tekanan darah, menghalang arteri daripada tersumbat dan menurunkan kolesterol". Antioksidan yang ditemui dalam teh hijau boleh membantu mengawal tahap glukosa di dalam badan dan membantu menghalang diabetes.

Adakah terdapat perbezaan di antara teh hitam dan teh hijau? 

Menurut Dr. Steinbaum mana-mana jenis teh mempunyai manfaat kesihatan yang boleh membantu untuk mengimbangi gejala kencing manis dan juga menghalangnya, tetapi teh hijau adalah yang terbaik. "Jika anda minum teh hijau untuk kencing manis, anda akan dapat lebih tinggi tahap polifenol berbanding dengan teh hitam." Polifenol adalah apa yang memberi buah-buahan dan sayur-sayuran warna yang terang, jadi warna hijau teh menunjukkan bahawa ia kaya dengan antioksidan. Perlu diingat bahawa lebih gelap warna oren daripada teh hitam bermaksud lebih banyak polifenol di dalamnya.

Penyediaan teh hijau dari daun yang tidak ditapai menunjukkan ianya diproses tulen dengan mengekalkan bilangan polifenol. Sebaliknya, teh hitam diperbuat daripada daun-daun teh yang telah ditapai menyebabkan ianya kehilangan sebahagian daripada nutrien. Tambahan pula, teh hitam biasanya mengandungi kafein 2 hingga 3 kali lebih banyak daripada teh hijau.

Apakah makanan yang terbaik untuk diambil bersama-sama dengan teh hijau?

Penting untuk kita mengenali beberapa makanan yang kaya dengan polifenol yang boleh membantu menangani diabetes jenis 2. Senarai ini termasuklah anggur, epal, buah delima, brokoli, bawang besar, bawang putih, tomato, terung, bayam, kranberi, bluberi, raspberi, stroberi, lemon, kiwi, coklat gelap, kacang merah, pistachio, walnut dan kacang kuda. 

Apa yang penting ialah memahami dan mengamalkan diet yang memberi manfaat kepada kesihatan tubuh badan bersama-sama dengan meminum teh hijau. Perkara ini boleh membantu mencegah kencing manis dan dalam sesetengah kes, mengimbangkan gula dalam darah seterusnya membantu mengawal terjadinya diabetes. Oleh itu, jangan lupa untuk menambah buah-buahan dan sayur-sayuran yang berbeza warna, kekacang, coklat gelap, ikan dan sudah tentulah teh hijau untuk diet tetap setiap hari.

SUMBER




Baca lagi tentang kebaikan polifenol kat SINI


Comments

  1. Ni yg buat mama nak minum teh hijau semula ni

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts